Rumahtangga satu ujian
Keikhlasan penting untuk mendorong seseorang menerima kelemahan pasangannya lantas berusaha memperbaiki diri bukannya turut serta melakukan kesilapan yang sama. Mereka yang ikhlas akan percaya, kesilapan yang dilakukan oleh pasangan adalah ujian daripada Allah dan akan berusaha untuk membetulkan kesilapan pasangan. Sekiranya gagal dibantu, setelah berusaha dan memanjatkan doa kepada yang Maha Esa, jalan terbaik adalah keluar dari perkahwinan dan bukannya turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya lebih banyak memberi keburukan kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.
Semua perkahwinan terdedah kepada ujian sama ada tercetus daripada suami, isteri, anak, ahli keluarga, orang luar mahupun keadaan sekeliling. Justeru, langkah pencegahan daripada terjerumus kepada perlakuan curang amat perlu diambil. Seorang rakan sangat menghargai teguran suami yang melarangnya menumpang kereta rakan lelaki, walaupun pada awalnya dia berasakan teguran itu agak keterlaluan. Suaminya memberi alasan naik kereta bersama boleh membawa keselesaan berbual dan seterusnya bercerita masalah peribadi. Segala kemungkinan boleh berlaku bertitik tolak dari situ seperti kecurangan. Lebih baik mencegahnya dengan menutup saluran yang menjurus ke arah pergaulan sebegitu.
Pun begitu, seandainya perkahwinan masih diuji, berlapang dadalah kerana rumahtangga kita dipilih Allah SWT untuk menerima peningkatan iman dan darjat. Isteri perlukan perlindungan, suami seharusnya bertindak sebagai pelindung isteri. Ia bukan sekadar memberi tempat berlindung seperti rumah tetapi juga memberi perlindungan perasaan melalui sikap yang mengambil berat mengenai rasa takutnya serta kesunyiannya. Ada suami tidak peka dan mengambil mudah perasaan isteri yang cuba memberi isyarat kepada suami dia sedang digoda lelaki lain.
No comments:
Post a Comment